Rabu, 10 Februari 2010

INGAT MATI PENDORONG PEMBANGUNAN

INGAT MATI PENDORONG PEMBANGUNAN

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah:
"Siapakah orang yang paling bijak dan paling mulia di kalangan manusia?"

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Orang yang paling banyak mengingati mati dan bersungguh-sungguh untuk ke arah itu. Merekalah dikatakan orang yang bijak dan menerima kemuliaan di dunia dan kehormatan di akhirat"

Mengingati mati adalah suatu latihan hati atau spiritual exercise yang sangat diperlukan oleh manusia. Kalau jasad perlu dilatih dengan berbagai jenis sukan (olah raga) supaya sihat dan cergas, akal dilatih dengan perbagai pembelajaran dan pengalaman hingga ke universiti di dalam dan di luar negara, maka hati juga sepatutnya dilatih dengan pelbagai aktiviti agar sihat dan cergas. Bahkan keperluan melatih hati ini lebih penting kerana hati ini merupakan raja dalam kerajaan diri yang menjadi rebutan antara syaitan dan malaikat, menjadi rebutan samada ia dikuasai nafsu atau dikuasai ruh.

Mengingat mati di sini bukan dimaksudkan “mengingat” dengan akal sahaja, tetapi merasakannya dalam hati. Oleh itu pelbagai ilmu tentang kematian, kehidupan sesudah mati seperti alam barzakh, siratalmustaqim, padang mahsyar, syurga, neraka, dll mestilah benar-benar difahami dan dihayati.
Mari kita contohi apa yang dilakukan oleh Sy. Umar Al-Khattab. Kerana ingatannya kepada kematian dan takutnya dengan kehidupan akhirat, beliau sentiasa mengeluh:
“Kalaulah semua orang masuk syurga dan hanya seorang sahaja yang masuk neraka, maka orang itu adalah aku”

Begitulah keluhan seorang yang selalu mengingati kematian. Sebab itulah beliau menjadi pemimpin yang tidak dapat tidur di waktu siang dan malam.

“Kalau aku tidur siang, aku takut urusanku dengan manusia tidak selesai. Dan kalau aku tidur malam, aku takut urusanku dengan Tuhan tidak selesai”

Beliau selalu memikirkan bila-bila masa sahaja akan mati, maka segala urusan dengan Tuhan dan dengan manusia cepat-cepat diselesaikannya hingga dia tidak sempat tidur.

Di zaman pemerintahan Sy. Umar, Islam berkembang menjadi imperium yang berwibawa. Di waktu itu kekayaan, kemakmuran dan keadilan pemerintahan Islam sangat terserlah hingga berbondong-bondonglah manusia menyerah diri untuk berada dalam naungan pemerintahan Islam baik yang masuk agama Islam ataupun yang tetap dalam agama masing-masing.

Sebagai tradisi atau kebiasaannya Sy. Umar keliling negerinya melihat keadaan rakyatnya. Pada suatu hari beliau melihat seorang yahudi tua sedang bersusah payah bekerja. Lalu beliau bertanya,
“Mengapa kamu masih bekerja, bukankah lebih baik kamu beristirahat saja di rumah?”
Lelaki yahudi itu menjawab,
“Aku sedang mengumpulkan uang untuk membayar jizyah (pajak)”
Sy. Umar berkata,
"Tidak! Kamu tidak perlu membayar jizyah. Islam adalah agama yang selamat dan menyelamatkan. Kamu telah menerimaku sebagai pemimpinmu. Dalam islam orang-orang tua sepertimu bahkan harus mendapat bantuan dari pemerintah. Itulah amanah Allah untukku sebagai pemimpinmu. Aku amat takut, Allah akan menghukumku karena telah berbuat zalim kepadamu"

Sy. Umar terus memanggil pemimpin di kawasan itu dan mengarahkan agar lelaki tua itu tidak perlu membayar jizyah, bahkan mendapat bantuan dari baitul mal.

Begitulah kesan dari jiwa yang selalu ingat mati. Jiwa yang selalu merasa dirinya terancam dengan nasib yang tidak tentu setelah mati. Ibarat seseorang yang akan masuk ke negara orang harus melalui pemeriksaan imigrasi, custom dan karantina. Apakah bisa masuk, sedangkan visa belum ada? Jangan-jangan barang ada yang terlarang? Atau mengidap penyakit yang harus dikarantina?

Maka, sudah tentu dia tidak tidur malam untuk menyediakan itu semua dan memastikan bisa lepas di pemeriksaan perbatasan. Belum lagi memikirkan bekal untuk tinggal di negeri baru. Aduh …lebih-lebih lagilah jiwa dipenuhi kegelisahan dan kebimbangan. Lalu, terdoronglah dia untuk bersungguh-sungguh membuat kebaikan dan kemajuan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar