Sabtu, 20 Maret 2010

TUTUP AURAT BOLEH MENGELAK KANSER KULIT

TUTUP AURAT BOLEH MENGELAK KANSER KULIT

Memakai pakaian yang menutup aurat meletakkan wanita sebagai seorang yang menjaga harga diri sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh dari lelaki. Sebagaimana kita pernah terbaca bagaimana perempuan yang sentiasa bertudung akan dijauhkan daripada penyakit rambut, kulit kepala dan sebagainya. Begitu juga umat yang sentiasa menutup auratnya insya Allah akan terhindar daripada penyakit kanser kulit yang yang kerap menghinggapi wanita yang sering mendedahkan diri atau aurat mereka kepada cahaya matahari. Pada tahun 1998 sahaja seramai 2000 wanita di Amerika Syarikat mati akibat kanser kulit jenis ’sguamous cell carcinoma’. Nisbah kemungkinan manusia khasnya wanita dihinggapi penyakit kanser kulit berwarna atau ’melanomia’ di Amerika Syarikat ialah setiap 75 orang maka seorang terkena penyakit tersebut. Setiap arahan Allah ada hikmatnya yang tersendiri untuk kebaikan dan manfaat kita di dunia apatah lagi di akhirat. Islamlah nescaya kita hebat dan sihat. Firman Allah dalam ayat 81 surah an-Nahlu:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِمَّا خَلَقَ ظِلَالًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ وَسَرَابِيلَ تَقِيكُمْ بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ

Maksudnya : Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya

Hukum Tabarruj atau Berhias Berlebihan Bagi Perempuan

1. Bulu kening
-Menurut Bukhari, “Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.” Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
-”Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
-”Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada
-”Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)

5. Gigi
-’Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.’ (Riwayat At-Thabrani)
-”Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: ‘Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan
-”Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya”(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

8. Mata
-”Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya.” (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)
-”Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi.” (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan
-”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. “(An Nur : 31).
-”Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya.” (Riwayat Al Bazzar).
-”Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian
-”Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-”Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
-”Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).

12. Rambut
-”Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Benarkah Taubat Nabi Adam Diterima Kerana Bertawasul?

Oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

Tawasul kepada orang yang soleh, terutamanya Rasulullah s.a.w. dipercayai oleh segolongan daripada umat Islam sebagai satu cara doa yang mudah dikabulkan. Di antara riwayat utama yang dijadikan hujah oleh orang yang mengatakan boleh bertawasul dengan Rasulullah s.a.w. ialah bertawassulnya Nabi Adam ketika bertaubat kepada Allah s.w.t. Perkara ini telah diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak:

عن عمر بن الخطاب مرفوعاً: ” لما اقترف آدم الخطيئة قال يا رب أسألك بحق محمد لما غفرت لي فقال الله : يا آدم و كيف عرفت محمدا و لم أخلقه ؟ قال : يا رب لأنك لما خلقتني بيدك و نفخت في من روحك و رفعت رأسي فرأيت على قوائم العرش مكتوبا لا إله إلا الله محمد رسول الله فعلمت أنك لم تضف إلى اسمك إلى أحب الخلق فقال الله : صدقت يا آدم إنه لأحب الخلق إلي ادعني بحقه فقد غفرت لك و لولا محمد ما خلقتك

.

Diriwayatkan daripada ‘Umar al-Khattab secara marfu’ bahawa setelah Adam a.s. bersalah kerana melakukan kesilapan lalu baginda berkata, aku memohon ampun dari-Mu dengan hak Muhammad. Allah s.w.t. bertanya, Wahai Adam, bagaimana engkau mengenali Muhammad sedangkan Aku belum menciptakannya? Maka sahut Adam: Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah menciptakanku, dengan Tangan-Mu, Engkau tiupkan Roh–Mu padaku, dan aku telah mengangkat kepala tiba-tiba aku terpandang pada tiang-tiang arasy tertulis La Ilaha Illa Allah Muhammad Rasulullah. Maka aku meyakini bahawa sesungguhnya Engkau tidak menyandarkan pada nama Engkau melainkan orang yang paling Engkau kasihi. Maka Allah telah mewahyukan kepada Adam, engkau benar wahai Adam, dia adalah orang yang paling Aku kasihi. Berdoalah kepada-Ku dengan haknya sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan kalaulah tidak kerana Muhammad tidak Aku jadikan engkau. (al-Mustadrak, no: 4287, jil.1, hal. 722)

Riwayat ini juga dinukilkan oleh al-Baihaqi dalam Dala`il al-Nubuwwah dengan rantaian perawi yang sama dengan al-Hakim iaitu daripada Abu al-Harith ‘Abdullah bin Muslim al-Fahari daripada Ismail bin Maslamah daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada ayahnya, Zaid bin Aslam daripada Aslam daripada Umar al-Khattab.

Setelah mengemukakan riwayat ini, al-Baihaqi memberikan komentarnya: “Hanya Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan cerita ini dan dia seorang yang dha’if.” (Dala`il al-Nubuwwah, jil. 5, hal. 489)

al-Hakim mengatakan riwayat ini sahih sanadnya tetapi al-Zahabi dalam komentarnya terhadap Kitab al-Mustadrak membantah dengan mengatakan riwayat ini adalah palsu, kerana ‘Abdullah bin Zaid seorang yang lemah dan ‘Abdullah bin Muslim al-Fahari tidak dikenali siapakah dia. (al-Mustadrak, , jil.1, hal. 723).

Dalam Mizan al-I’tidal di bawah biografi ‘Abdullah bin Muslim al-Fahari, al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau ada meriwayatkan daripada Isma’il bin Maslamah bin Qa’nab daripada ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam sebuah riwayat palsu yang menyatakan Wahai Adam kalaulah tidak kerana Muhammad tentu Aku tidak jadikan engkau. Ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala`il al-Nubuwwah)

al-Hakim sendiri dalam kitabnya al-Madkhal Ila al-Sahih menyatakan bahawa Abdul Rahman bin Zaid meriwayatkan beberapa hadis palsu daripada ayahnya yang sememangnya diketahui oleh semua ahli ilmu kerana dialah puncanya. Oleh itu, madar (paksi) sanad ini ialah ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam. Beliau seorang yang lemah dalam hadis. Abu Zur’ah mengatakan dia seorang yang dha’if. Abu Hatim mengatakan dia tidak kuat dalam hadis walaupun dia seorang yang baik pada dirinya tetapi lemah dalam hadis. Ibn Sa’ad mengatakan dia banyak meriwayatkan hadis dan sangat lemah. Ibn Khuzaimah mengatakan dia bukanlah seorang yang hadisnya dijadikan hujah oleh ahli ilmu kerana buruk hafalannya dan dia seorang ahli ibadat bukan ahli dalam hadis. (Ibn Hajar, Tahzib al-Tahzib, jil. 3, hal. 363-364)

Perawi utama yang dipertikai ialah ‘Abdullah bin Muslim al-Fihri. Hafiz Ibn Hajar menyebutkan ‘Abdullah bin Muslim al-Fihri meriwayatkan daripada Isma’il bin Maslamah bin Qa’nab daripada ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam sebuah riwayat palsu yang menyatakan: “Wahai Adam, kalaulah tidak kerana Muhammad tentu Aku tidak jadikan engkau.” Ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala`il al-Nubuwwah. Saya (Ibn Hajar) mengatakan, tidak mustahil perawi sebelumnya (ya’ni dalam kitab Lisan al-Mizan, ‘Abdullah bin Muslim bin Rusyaid) kerana dia sezaman dengannya. ‘Abdullah bin Muslim bin Rusyaid disebutkan oleh Ibn Hibban sebagai seorang yang dituduh mereka-reka hadis. (Lisan al-Mizan jil. 5, hal. 11-12)

Persoalannya mengapa terdapat pertentangan di antara apa yang ditulis oleh al-Hakim dalam kedua-dua kitab itu? Jawapannya, al-Hakim menulis al-Mustadrak ketika mencapai usia 72 dalam keadaan ingatannya sudah mengalami kemerosotan. Hafiz Ibn Hajar mengatakan:

“Setengah ulama menyebutkan bahawa berlaku perubahan pada ingatan al-Hakim dan menjadi lalai di akhir usianya. Ini dapat dilihat apabila beliau menyebut sekumpulan perawi dalam kitabnya al-Dhu’afa` dan memutuskan bahawa riwayat itu mereka ditinggalkan dan tidak boleh berhujah dengannya tetapi kemudiannya beliau menyebutkan beberapa hadis mereka dalam al-Mustadrak kemudian mentashihkannya! Antaranya ialah beliau mengeluarkan sebuah hadis daripada ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan beliau sendiri menyebutkan di dalam al-Dhu’afa` dan mengatakan Abdul Rahman bin Zaid meriwayatkan beberapa hadis palsu daripada ayahnya yang tidak tersembunyi lagi kepada ahli ilmu kerana dialah puncanya.” (Lisan al-Mizan, hal. 7, hal. 257)

al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith menyebutkan: “Dikatakan sebabnya ialah beliau menyusun al-Mustadrak di hujung usianya dan telah berlaku kepadanya perubahan ingatan dan kelalaian atau beliau tidak berkesempatan untuk menyemak dan menyaringnya, ini dibuktikan sikap bermudahnya (tasahul) pada satu perlima awal sedikit berbanding dengan yang bakinya. (jil.1, hal. 62)

Berdasarkan kepada ini, al-Hakim dikenali sebagai ulama yang longgar dalam menilai dan memberi keputusan terhadap status perawi dan kesahihan hadis. Oleh sebab itu, para ulama hadis mengingatkan supaya berhati-hati dengan riwayat-riwayatnya dan dalam hal ini, amat penting kepada kita untuk merujuk kepada Hafiz al-Zahabi yang telah menilai kembali keputusan al-Hakim yang mendakwa sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.

Percanggahan Dengan al-Qur`an

Selain dari sudut sanad, riwayat ini terbukti sebagai palsu kerana percanggahan dengan al-Qur`an. Allah s.w.t. berfirman:

فَتَلَقَّى آَدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: 37)

Para mufassir seperti Ibn Kathir (Tafsir al-Qur`an al-‘Azim, jil. 1, hal. 238), al-Razi (al-Tafsir al-Kabir, jil. 2, hal. 43) dan al-Baidhawi (Anwar al-Tanzil, jil. 1, hal. 73) menyebutkan bahawa maksud beberapa kalimah itu dijelaskan dalam ayat lain, iaitu firman Allah s.w.t.:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang yang rugi”. (Surah al-A’raf: 23)

Adakah Tujuan Penciptaan Nabi Adam Dan Alam Ini Kerana Rasulullah s.a.w. ?

Pada potongan kedua riwayat al-Hakim itu terdapat lafaz yang bermaksud: kalaulah tidak kerana Muhammad tidak Aku jadikan engkau.

Dalam sebuah riwayat lain yang dihukumkan palsu disebutkan kalaulah tidak kerana engkau tidaklah Aku jadikan falak-falak ini.

Riwayat ini dihukum sebagai palsu oleh al-Saghani, al-Syaukani, Mulla ‘Ali al-Qari, al-Laknawi dan ramai lagi. (lihat al-Asrar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, hal. 295, Al-Athar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, hal. 44, al-Fawaid al-Majmu’ah, hal. 295)

Riwayat ini jelas kepalsuannya kerana bercanggah dengan kenyataan al-Qur`an.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Surah al-Zariyat: 56)

Inilah matlamat penciptaan manusia, diutuskan para rasul dan dijadikan hari pembalasan supaya manusia beribadat kepada Allah. Semua makhluk tidak diciptakan kerana makhluk yang lain.

Mendakwa penciptaan alam semesta kerana Rasulullah s.a.w. menyalahi kenyataan jelas yang terkandung dalam al-Qur`an. Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Qur`an, para ahli tafsir menjelaskan bahawa tujuan penciptaan alam semesta ini ialah supaya manusia mengenali Allah s.w.t. yang telah menciptakannya dan menyakini akan kekuasaan dan kebesaran-Nya. Manusia itu sendiri diciptakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Kebesaran Allah ini membuktikan bahawa hanya Dia yang berhak disembah dan menegaskan betapa luasnya rahmat dan kurniaan-Nya.

Kesimpulannya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim ini jelas kepalsuannya dari sudut riwayah dan dirayah. Tokoh-tokoh hadis yang terkenal seperti al-Zahabi dan Hafiz Ibn Hajar memutuskannya sebagai palsu. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengaitkan taubat nabi Adam dengan tawassul kepada Rasulullah s.a.w. apatah lagi untuk mendakwa bahawa sebab penciptaan alam ini semata-mata kerana Rasulullah s.a.w.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar